Thursday, 11 August 2011

Liga Autoside Minggu Ke-14: TEAM CROCS vs PARAGON & IN THE ZONE vs TEAM G6

TEAM CROCS DI BELASAH OLEH PARAGON
Aksi pemain TEAM CROCS amat mengecewakan

Kuching – 09 Ogos 2011

Hasrat TEAM CROCS untuk kembali menemui rentak kemenangan pada malam tadi tidak berhasil apabila telah di belasah dengan teruk oleh pasukan PARAGON dengan 17-3. Rata-rata pemain TEAM CROCS tidak bersedia untuk perlawanan ini dan tidak mempamerkan aksi terbaik bagi diri mereka untuk kemenangan TEAM CROCS.

Aksi game pertama cukup untuk menceritakan bahawa pemain TEAM CROCS perlu lebih bersemangat dan lebih teliti di dalam game yang seterusnya. Habeeb yang di letakkan selaku pemain pertama telah melakukan kesilapan apabila melakukan dua open frame berturut-turut di frame yang ke-9 dan 10. Kesilapan beliau itu telah di hukum oleh Mohd Nazri yang berjaya menyudahkan game pertama dengan jayanya. Mohd Nazri menang di game pertama dengan 204-177.

Zaidin pula yang di tugaskan menjadi pemain kedua telah bermain dengan teruk sekali apabila hanya berjaya menjatuhkan sebanyak 125 pin. Keadaan itu telah memudahkan Abd Muhaimin bermain tanpa tekanan dan berjaya membenam sebanyak 192 pin untuk kemenangan ke-2 buat PARAGON.

PARAGON meneruskan rentak kemenangan setelah Awg Shawal telah melakukan sebanyak 9 strike dan selebihnya spare untuk muncul sebagai pemenang menewaskan Yusri Suhaimi yang tidak berjaya membuat balingan yang sempurna. Awg Shawal menewaskan Yusri Suhaimi dengan keputusan 262-130. PARAGON terus mendapatkan mata ke-4 menerusi jumlah pin berpasukan dengan kelebihan 226 pin setelah menjatuhkan sebanyak 658 pin.

TEAM CROCS yang menyedari kesilapan di game pertama telah cuba bangkit di game ke-2 ini. Habeeb masih belum berjaya menemui rentak yang biasa beliau lakukan tidak menemui sebarang strike di game kali ini. Menjatuhkan 7 spare manakala selebihnya open frame telah mengakibatkan kekalahan keduanya kepada Mohd Nazri yang berjaya mempertahankan kosistensi beliau. Mohd Nazri menang dengan 183-175.

Zaidin yang masih terkial-kial mencari formula untuk mendapatkan mata lebih tinggi juga tidak berjaya. Namun kesilapan Abd Muhaimin yang sering gagal membuat balingan spare telah memberikan mata pertama buat TEAM CROCS setelah tewas kepada Zaidin dengan 139-171.

Yusri Suhaimi yang di harap dapat membantu TEAM CROCS juga gagal melaksanakan tugas sebagai ANCHOR. Kerap kali balingan beliau tidak menepati sasaran dan jika masuk ke sasaran sekalipun pasti akan tertinggal pin 10 yang gagal di sempurnakan oleh beliau. Awg Shawal yang di lihat mengendurkan tentangan masih mampu memenangi perlawanan dengan keputusan 184-145. PARAGON merebut mata ke-7 setelah menewaskan TEAM CROCS bagi kategori jumlah pin berpasukan game ke-2 dengan 505-491. Setelah tamat game kedua PARAGON mendahului TEAM CROCS dengan 7-1.

Semangat dan kekuatan TEAM CROCS seakan runtuh di landa Tsunami apabila perlawanan memasuki game yang ke-3. Habeeb yang beraksi tidak seperti biasa gagal menyudahkan beberapa spare mudah sepanjang game ke-3 ini. Sementara lawan beliau Mohd Nazri begitu konsisten dan beraksi tanpa tekanan berjaya menghukum Habeeb dengan kemenangan 218-184 untuk mata ke-3 buat dirinya dan ke-8 untuk PARAGON.

Zaidin yang tidak beraksi dengan biasa bernasib baik kerana lawannya Abd Muhaimin juga banyak melakukan kesilapan. Zaidin menang dengan 162-148 untuk mata ke-2 buat TEAM CROCS. Awg Shawal tidak memberikan sebarang ruang apabila terus mempamerkan aksi yang memukau dan menjatuhkan sebanyak 211 pin untuk kemenangan selesa ke atas Yusri Suhaimi yang hanya mampu menjatuhkan sebanyak 173 pin. PARAGON sekali lagi mendominasi jumlah pin berpasukan dengan keputusan 577-519. Kedudukan terkini PARAGON selesa mendahului TEAM CROCS dengan 10-2.

Keadaan tidak banyak berbeza di game terakhir di mana PARAGON terus selesa memperkukuhkan kedudukan mereka. Walaupun kali ini Mohd Nazri menerima saingan yang sengit daripada Habeeb namun beliau masih mampu mengecapi kemenangan kali ke-4 dengan keputusan 209-204. Mohd Nazri juga melakarkan kemenangan 100% dengan mata ke-5 setelah menyingkirkan cabaran Habeeb dengan keputusan 814-740.

Zaidin sekali lagi memberikan mata kepada TEAM CROCS setelah berjaya mengambil kesempatan di atas kemerosotan permainan yang di tunjukkan oleh Abd Muhaimin. Zaidin menang dengan 173-158. Walaubagaimanapun Zaidin tidak berupaya menewaskan Abd Muhaimin setelah penjumlahan pin individu keseluruhan tetap berpihak kepada Abd Muhaimin dengan keputusan 636-631.

Yusri Suhaimi terus berputih mata untuk mendapatkan permainan biasa beliau. Awg Shawal sekali lagi tidak memberikan banyak pilihan kepada Yusri selain daripada tewas kesemua permainan kepadanya. Yusri ditumbangkan dengan penuh bergaya oleh Awg Shawal dengan 199-139. Awg Shawal juga melengkapkan malam derita buat Yusri Suhaimi setelah jauh meninggalkan pin keseluruhan individu dengan perbezaan 269 pin setelah menjatuhkan sebanyak 856 pin. PARAGON turut meraih dua mata lagi menerusi jumlah pin berpasukan dan jumlah pin keseluruhan. Awg Shawal telah di pilih sebagai pemain terbaik bagi perlawanan ini oleh Arena Sukan CROCS.

TEAM CROCS akan berdepan dengan SARAMART BOWLERS pada minggu hadapan manakala PARAGON akan berdepan cabaran pasukan TIDAL BORE.
SCORE SHEET TEAM CROCS vs PARAGON



ARENA SUKAN CROCS di sediakan oleh P3m@in l3owling.


IN THE ZONE MENEWASKAN
TEAM G6
G6 beri tentangan hebat manakala Alvin Sijore muncul pemain terbaik

Kuching – 10 Ogos 2011

Sebelum perlawanan di mulakan pihak penganjur kejohanan, Crystal Bowl telah membuat seisi cabutan bertuah pada malam tadi. Pemenang akan menerima voucher KFC sebanyak RM5 setiap seorang. Di antara pemenang malam tadi ialah pemain dari pasukan UNIMAS, 90’s, GEFORCE, EZONET, TEAM CROCS dan G6.

Perlawanan yang bermula pada jam 9.35 malam tadi telah berlangsung di dalam keadaan yang tenang dan harmoni. Halimah yang di turunkan selaku pemain pertama G6 bakal menentang pemain IN THE ZONE iaitu Alvin Sijore. Alvin Sijore yang mendahului sehingga frame ke-4 terpaksa melepaskan kelebihan tersebut setelah melakukan open di frame ke-5. Halimah yang mula mendahului akhirnya berjaya menjatuhkan sebanyak 188 pin di game pertama ini. Alvin pula bertindak mengejar mata pendahuluan oleh Halimah dan hampir berjaya melakukannya namun beliau di kecewakan oleh dua balingan terakhir di frame yang ke-10 yang menuntut beliau agar mendapatkan sekurang-kurangnya SPARE. Alvin tewas tipis setelah menjatuhkan 185 pin kurang 3 pin daripada apa yang di perolehi oleh Halimah.

Pemain kedua pasukan G6 pula Maimunah yang tidak konsisten di empat frame yang pertama telah memperbaiki balingan beliau dan akhirnya menjatuhkan sebanyak 174 pin di game yang pertama ini. Lawan beliau Ahmad Fikri bermula dengan garang setelah membenam 2 strike berturut-turut namun split di frame ke-3 telah mengubah permainan beliau selepas itu. Ahmad Fikri yang hanya berjaya membuat 4 spare selepas itu tanpa sebarang strike telah menjatuhkan sebanyak 166 pin di game pertama dan tewas kepada Maimunah di game pertama ini.

Rakiah Ali yang bermula dengan baik dengan 2 spare awal dan 1 strike sebelum mendapat open frame  di frame yang ke-4 telah terus kehilangan rentak apabila menyaksikan balingan beliau tidak menepati sasaran yang di hajatkan. Sementara itu Sufian Othman yang menjadi lawan Rakiah Ali malam tadi pula telah bertindak cemerlang setelah membenam sebanyak strike berturut-turut dan kemudian memperolehi spare di frame yang ke-7 sebelum kembali mendapat strike di frame yang ke-8. Namun Sufian Othman melakukan kesilapan di frame ke-9 apabila mendapat open frame sebelum menyudahkan permainan di game yang pertama dengan dua lagi strike bagi mengumpul sebanyak 254 pin menewaskan Rakiah Ali dengan kelebihan 86 pin. Kemenangan besar Sufian Othman juga telah memberikan mata penyamaan IN THE ZONE di game yang pertama ini setelah menewaskan G6 dengan keputusan 605-530.

Berlainan ceritanya di game yang kedua. Halimah secara tiba-tiba menunjukkan peningkatan di dalam permainan dan berjaya menundukkan Alvin Sijore buat kali kedua dengan keputusan 206-174 untuk kembali meletakkan G6 mendahului dengan 3-2. Kemerosotan permainan yang di tunjukkan oleh Maimunah pula mengundang padah apabila kesempatan tersebut di ambil sepenuhnya oleh Ahmad Fikri yang mencatatkan sebanyak 176 pin. Maimunah akur dengan kesilapan tersebut setelah mendapat hanya 149 jatuhan pin, namun beliau tetap bersemangat tinggi untuk meneruskan perjuangan. Kedudukan yang terikat di angka 3 telah terlerai apabila IN THE ZONE berjaya mendahului G6 dengan 5-3 setelah Sufian Othman sekali lagi berjaya menewaskan Rakiah Ali dengan 169-150 seterusnya membantu kemenangan tipis pin berpasukan game ke-2 ini dengan 519-505.

Episod yang berbeza terjadi di game yang ke-3, apabila permainan Halimah merosot secara tiba-tiba sementara permainan Alvin Sijore pula mendadak sertamerta kali ini. Halimah yang tidak berjaya menjatuhkan sebarang strike pada game ke-3 ini hanya mampu membuat sebanyak 4 kali spare sahaja. Alvin Sijore yang mendapat sokongan dari rakan sepasukan telah berjaya 4 strike, 4 spare dan 3 open frame untuk menewaskan Halimah buat kali pertama dengan keputusan 211-148.

Maimunah yang terdahulu agak suram kerana kemerosotan prestasi telah berjaya mengembalikan permainan yang bermutu terutama selepas frame yang ke -3. Maimunah berjaya menewaskan Ahmad Fikri sekali lagi setelah Ahmad Fikri melakukan kesilapan di frame yang ke-9 dengan keputusan 199-190.

Rakiah Ali yang sebelum ini gagal melakukan balingan yang baik juga secara tiba-tiba menemui sentuhan penyudahnya. Setiap balingan beliau kali in lebih tepat ke sasaran berbanding game-game sebelum ini. Di tambah pula dengan semangat diri yang tinggi serta dorongan dari rakan-rakan sepasukan mahupun dari pihak lawan telah menyaksikan keazaman yang jitu itu membuahkan hasil buat diri beliau. Sehinggakan split di frame yang ke-9 juga mampu di tumbangkan beliau. Rakiah Ali berjaya menundukkan Sufian Othman dengan 211-178.

Namun kemenangan Maimunah dan Rakiah Ali tidak mampu menghalang IN THE ZONE daripada menyamakan mata di game yang ke-3 ini setelah gagal mengatasi jumlah pin berpasukan IN THE ZONE di game kali ini dengan keputusan 558-579. Kedudukan terkini sebelum memasuki game yang terakhir IN THE ZONE masih mendahului G6 dengan 7-5. Sehingga tamat game yang ke-3 ini, Alvin Sijore mendahului Halimah dengan 28 pin sementara Ahmad Fikri juga mendahului Maimunah hanya dengan kelebihan 10 pin dan Sufian Othman selesa mendahului Rakiah Ali dengan kelebihan 72 pin.

Kedua-dua pasukan begitu bersemangat ketika memasuki game yang terakhir ini. Halimah berjaya memperbaiki kesilapan yang di lakukannya di game ke-3 dengan hanya melakukan satu open frame. Alvin Sijore juga berjaya melakukan hanya satu open frame terpaksa akur tunduk buat kali ke-3 setelah balingan belau yang lain hanya menemui spare berbanding strike. Halimah menang dengan 236-210. Namun keputusan itu belum cukup buat beliau mencatat kemenangan ke-4 setelah tumpas tipis 2 mata di kategori jumlah pin keseluruhan individu dengan keputusan 778-780. Kedudukan terkini IN THE ZONE masih mendahului dengan 8-6.

Maimunah yang begitu hebat di game yang ke-3 tadi pula tidak dapat meneruskan aksi sepertinya apabila mendapat dua split berturut-turut di frame ke-2 dan 3. Hasilnya beliau gagal mengembalikan rentak permainan biasa dan tunduk di tangan Ahmad Fikri dengan 152-176. Ahmad Fikri juga menambah satu lagi mata buat IN THE ZONE setelah memenangi jumlah pin individu keseluruhan dengan keputusan 708-674 seterusnya menjarakkan mata IN THE ZONE yang kini mendahului G6 dengan 10-6.

Rakiah Ali melakukan sebaik yang mungkin di game yang terakhir ini manakala Sufian Othman hanya ingin memastikan kemenangan berpihak kepada beliau. Rakiah Ali yang ketinggalan telah berjaya membenam 2 strike berturut-turut di frame yang terakhir dan berjaya menjatuhkan sebanyak 177 pin. Sufian Othman yang terpaksa menukar lane di saat-saat akhir kerana kerosakan mekanikal hanya memerlukan spare di frame ke-10 untuk menang namun kegopohan beliau telah memakan dirinya sendiri apabila tidak berjaya melaksanakan misi yang semudah itu. Dengan menjatuhkan sebanyak 175 pin Sufian Othman telah gagal menewaskan Rakiah Ali di game yang terakhir ini. Walaubagaimanapun, jumlah keseluruhan pin individu tetap di menangi oleh Sufian Othman dengan keputusan 776-706. Dengan kemenangan ini kini sah IN THE ZONE memenangi perlawanan malam tadi.

G6 menambah satu lagi mata apabila memenangi jumlah pin berpasukan di game ke-4 dengan 565-561 dan IN THE ZONE pula menambah satu lagi mata menerusi jumlah pin keseluruhan perlawanan dengan 2264-2158. Keputusan akhir IN THE ZONE menang dengan 12-8 manakala pemain terbaik perlawanan di antara kedua-dua pasukan di kongsi bersama oleh Halimah (TEAM G6) dan Alvin Sijore (IN THE ZONE) kerana mempamerkan aksi yang bertenaga dan hebat sepanjang perlawanan berlangsung.

IN THE ZONE akan berhadapan dengan gergasi TALL BUILDING pada minggu hadapan manakala TEAM G6 pula di jadualkan menentang TITANIUM di hari dan waktu yang sama.

SCORE SHEET IN THE ZONE vs TEAM G6




ARENA SUKAN CROCS di sediakan oleh P3m@in l3owling.

No comments:

Post a Comment