IN THE ZONE HANYA MAMPU SERI
Kuching – 13 Julai 2011
Pemain-pemain IN THE ZONE kelihatan begitu bersemangat sebelum perlawanan kerana pemain harapan mereka Ahmad Fikri di sahkan dapat di turunkan selepas tiba daripada bandaraya Pulau Pinang petang semalam bagi mewakili pasukan menentang TM STRIKXX.
Perlawanan yang bermula tepat jam 8.20 malam tadi telah berlangsung dengan sengit dan penuh drama. Adrian Adam yang turun selaku pemain pertama IN THE ZONE telah membuka langkah kanan IN THE ZONE setelah mudah menundukkan Kamalia dengan keputusan 192-166. Adrian Adam hanya melakukan 3 open frame bagi game pertama ini.
Alvin Sijore yang di letakkan sebagai pemain kedua IN THE ZONE juga beraksi dengan baik. Walaupun empat open frame yang di miliki beliau pada 6 frame pertama dan ketinggalan sebanyak 14 pin pada frame ke-6 kepada Satia Hasbi namun beliau berjaya mempertingkatkan usaha di dalam memperbaiki mutu permainan dan berjaya menghabiskan baki frame dengan 3 spare dan 2 strike. Dengan ini Alvin muncul sebagai pemenang game pertama apabila menundukkan Satia Hasbi dengan 175-154.
Ahmad Fikri yang baru menyambut hari jadinya 2 hari lepas hadir dengan penuh semangat apabila turut merasmikan kasut bowling yang baru di hadiahkan kepada beliau sempena hari jadi beliau itu. Namun semangat yang berkobar-kobar sebelum perlawanan itu secara perlahan-lahan hilang selepas kehilangan sentuhan penyudah yang selama ini menjadi senjata utama beliau sewaktu bertanding. Balingan beliau sering tersasar daripada poket dan mendapat 2 split sepanjang game pertama ini mengakibatkan beliau kehilangan banyak mata-mata berharga. Ahmad Fikri hanya mampu berpuashati dengan 142 jatuhan pin manakala lawan beliau Mohd Rizal nyata bertindak baik mengambil semua kesempatan yang telah di buka oleh Ahmad Fikri dengan kemenangan selesa setelah menjatuhkan sebanyak 196 pin.
IN THE ZONE juga tidak bernasib baik apabila TM STRIKXX berjaya menyamakan kedudukan di game pertama dengan kemenangan di kategori jumlah jatuhan pin berpasukan game pertama dengan kelebihan hanya 7 pin sahaja. Pemain terbaik di game yang pertama ini di berikan kepada Mohd Rizal daripada TM STRIKXX kerana jatuhan pin yang tertinggi di kalangan keenam-enam pemain ini.
Kedudukan seri di game pertama memaksa IN THE ZONE bekerja dengan lebih keras lagi di game yang ke-2. Adrian Adam memberikan sinar kepada IN THE ZONE setelah dengan yakin menumbangkan sebanyak 213 pin menewaskan Kamalia buat kali ke-2 dengan perbezaan 44 pin. Namun begitu pada game ke-3, Kamalia telah berjaya mencuri satu mata berharga daripada prestasi menurun yang di tunjukkan oleh Adrian Adam. Adrian Adam melakukan banyak balingan yang tidak memasuki poket dan membuat 4 open frame bagi memberikan kemenangan berharga kepada Kamalia dengan keputusan 167-186. Perbezaan pin di antara kedua-dua pemain ini adalah sebanyak 51 pin dan kelebihan berpihak kepada Adrian Adam.
Alvin Sijore yang mendapat mata yang baik di game pertama tidak dapat meneruskan aksi seperti sebelum ini. Alvin Sijore terpaksa menelan kekalahan pertama beliau setelah gagal membuat sekurang-kurangnya spare di frame ke-6 hingga ke-10. Kegagalan beliau telah di gunakan sepenuhnya oleh Satia Hasbi yang menang tipis di game ke-2 ini dengan keputusan 141-140. Alvin terus tertekan di game ke-3 dengan melakukan balingan-balingan yang tidak konsisten. Satia Hasbi menggunakan peluang yang ada dengan menewaskan Alvin buat kali ke-2 dengan keputusan yang lebih meyakinkan (164-135). Satia Hasbi juga kini mendahului jumlah pin di antara mereka dengan perbezaan 9 pin sahaja.
Di game ke-2 ini, Ahmad Fikri telah berjaya memperbaiki mutu balingan beliau yang meyakinkan. Melakukan hanya 1 open frame di frame ke-4, 2 strike berturut-turut di frame pertama dan ke-2 dan yang selebihnya spare telah memberikan beliau keyakinan yang baru. Namun begitu Mohd Rizal yang berjaya memberikan persaingan sehingga berjaya menjatuhkan 2 kali split di frame ke-3 dan ke-5 telah memberikan beliau perangsang dan akhirnya dapat juga menewaskan Ahmad Fikri melalui kelebihan handicap. Kemenangan tipis 204 berbalas 203 pin itu sudah cukup untuk membuatkan Ahmad Fikri tidak senang duduk. Setelah tewas di 2 game pertama, Ahmad Fikri sekali lagi kehilangan sentuhan penyudah di game ke-3 ini. Mohd Rizal yang juga melakukan banyak kesilapan tidak dapat berbuat apa-apa setelah menamatkan game ke-3 dengan 159 pin sahaja. Ahmad Fikri yang kembali menemui rentak di frame ke-7 telah mengejar dan hampir berhasil mencatatkan kemenangan pertama beliau setelah menjatuhkan strike di frame ke-8 & ke-9. Di kala Ahmad Fikri memerlukan strike di frame terakhir bagi mencatatkan kemenangan usaha beliau telah di halang oleh spare sahaja. Menyedari dengan melakukan strike di balingan bonus pada frame ke-10 akan memberikan mata penyamaan, Ahmad Fikri kelihatan begitu tertekan dan akhirnya hanya menjatuhkan sebanyak 8 pin sahaja. Dengan balingan tersebut Ahmad Fikri sekali lagi gagal menyekat Mohd Rizal daripada memunggut mata ke-3 dengan keputusan tipis 159-157. Mohd Rizal juga melebarkan jurang pin terhadap Ahmad Fikri dengan perbezaan 55 pin.
Setelah tamat game ke-3 ini, TM STRIKXX mendahului buat kali pertama terhadap barisan IN THE ZONE dengan 8-4 dan mempunyai kelebihan pin sebanyak 15 pin sahaja. Pemain terbaik di game ke-2 jatuh kepada Adrian Adam yang menjatuhkan sebanyak 213 pin manakala pemain terbaik di game ke-3 di miliki oleh Kamalia dari pasukan TM STRIKXX.
Menyedari hakikat IN THE ZONE bakal tersungkur jika tewas di game terakhir ini telah memberikan suntikan motivasi kepada pemain IN THE ZONE. Adrian Adam mengulangi pencapaian di game pertama dan ke-2 setelah berjaya menumbangkan sebanyak 207 pin. Kamalia yang menang di game ke-3 tidak mampu mencabar Adrian Adam dan tewas dengan keputusan 207-142. Adrian Adam mengesahkan kemenangan 4-1 terhadap Kamalia setelah sekali lagi menewaskan lawannya itu dengan 779 berbalas 663 di kategori jumlah pin individu. Keputusan semasa kini IN THE ZONE masih ketinggalan dengan 6-8.
Alvin Sijore menceriakan kem IN THE ZONE apabila berjaya menjatuhkan pin melebihi paras average beliau. Berbekalkan 193 jatuhan pin di game terakhir ini sudah cukup bagi beliau mencatatkan kemenangan ke-2 bagi dirinya setelah Satia Hasbi hanya mampu menjatuhkan sebanyak 164 pin sahaja. Alvin Sijore juga berjaya mendapatkan mata ke-3 apabila berjaya mengalahkan Satia Hasbi dengan 643 berbalas 623 pin bagi jumlah pin individu keseluruhan. Kemenangan Alvin juga telah memberikan mata penyamaan bagi kedua-dua pasukan yang terikat di angka 8.
Ahmad Fikri yang tewas tiga game sebelum ini telah melipatgandakan usaha dan tenaga bagi sekurang-kurangnya mencatat satu kemenangan daripada pertemuan beliau dengan Mohd Rizal. Mohd Rizal yang memiliki hanya satu strike di sepanjang game terakhir ini agak bernasib baik apabila usaha Ahmad Fikri mengejar dan memenangi game ini di bantutkan oleh open frame di frame ke-9 setelah melakukan 2 strike berturut-turut di frame ke 7 & 8. Mohd Rizal menang di game teerakhir ini dengan keputusan 194-173. Dengan kemenangan ini juga mengesahkan Mohd Rizal mencatat kemenangan mutlak terhadap Ahmad Fikri setelah memperolehi mata ke-5 setelah jurang pin individu di lebarkan oleh Mohd Rizal dengan 76 pin setelah menewaskan Ahmad Fikri dengan 753 berbalas 675. TM STRIKXX kembali berjaya mendahului IN THE ZONE dengan 10-8.
IN THE ZONE cukup bertuah kerana berjaya menyamakan kedudukan 10-10 setelah menamatkan perlawanan dengan kemenangan bagi jumlah pin berpasukan game terakhir (573-500) dan juga melebarkan jurang mata di jumlah pin berpasukan keseluruhan (2097-2039). Keputusan muktamad IN THE ZONE dan TM STRIKXX terikat dengan jumlah 10-10. Pemain terbaik game terakhir menjadi milik Adrian Adam yang juga di umumkan sebagai pemain terbaik keseluruhan permainan.
“IN THE ZONE melepaskan peluang untuk mendaki tahkta liga dengan keputusan yang tidak di sangkakan ini. Seharusnya IN THE ZONE wajar memenangi perlawanan namun nasib serta kurangnya sentuhan penyudah menjadi faktor utama keputusan ini dicapai”, kata penganalisis sukan TEAM CROCS.
IN THE ZONE akan di jadualkan menentang EVO PERFECXION pada 19hb Julai manakala TM STRIKXX pula akan menentang TEAM CROCS yang juga merupakan pasukan yang menjana penubuhan IN THE ZONE pada 18hb Julai.
SCORESHEET PERTEMUAN IN THE ZONE vs TM STRIKXX
STATISTIK PEMAIN IN THE ZONE vs TM STRIKXX
SENARAI PENUH STATISTIK PEMAIN IN THE ZONE SEHINGGA MINGGU KE-10
Sumber berita ARENA SUKAN CROCS di sediakan oleh @N2PuCHoNG.
No comments:
Post a Comment